Friday, April 2, 2010


disebabkan ribut kemalasan yg melanda.....terlupa nk update entry about BIGgest loser...huhu..
Laporan Kem Bina Insan Guru (BIG), Siri 2 tahun 2010.
Oleh : Shafikah bt Pengiran
Unit : PISMP H8 (Ambilan Julai, tahun 2008)
Program Bina Insan Guru(BIG) ini diwujudkan untuk melahirkan guru-guru yang mempunyai kemantapan akhlak, nilai-nilai kerohanian dan keguruan, daya ketahanan yang tinggi serta aura keguruan selaras dengan prinsip Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Program ini juga diadakan kerana mempunyai objektif yang tersendiri. Objektif kem Bina Insan Guru ialah untuk menunjukkan dan mengetahui ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran agama. Objektif yang kedua ialah bakal guru mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang yang tinggi dalam diri. Objektif yang lain ialah supaya bakal guru dapat menguasai kemahiran menguruskan diri dan kumpulan serta masa dengan betul dan berkesan. Objektif BIG juga adalah untuk bakal guru dapat menguasai kemahiran asas interpersonal. BIG ini dilaksanakan juga adalah untuk memperkembangkan potensi sebagai insan melalui pembinaan portfolio dengan mengamalkan refleksi dan penilaian kendiri.
Sebagai salah seorang pelatih guru, saya juga tidak terkecuali menyertai kem BIG ini. Oleh itu, pada 22 hinggalah 25 Februari 2010 yang lalu, saya telah menghadiri kem Bina Insan Guru (BIG) siri 2 bertempat di Pusat Latihan Kokurikulum, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh. Unit yang turut terlibat dalam kem BIG siri 2 ini ialah unit Pengajian Melayu 3, Pengajian Tamil, Pemulihan, dan Matematik. Jumlah semua guru pelatih yang terlibat ialah 74 orang dan seramai 17 orang pensyarah terlibat yang terdiri daripada jurulatih-jurulatih serta tutor kelas masing2. Kem ini telah diketuai oleh Tn. Hj. Zahari b. Mohd Sarji.
Selain itu, setiap pembahagian kerja seperti jadual memasak dan jaga malam juga dilakukan dengan adil antara kelas untuk memudahkan lagi perjalanan kem ini
Hari/masa | 11.30-1.30 pagi | 1.30-3.00 pagi | 3.00- 5.30 pagi |
22 Feb 2010 | Kumpulan 1 (unit H3) | Kumpulan 2 (unit H3&H8) | Kumpulan 3 (unit H3&H8) |
23 Feb 2010 | Kumpulan 4 (unit H3&H8) | Kumpulan 5 (unit H3&H8) | Kumpulan 6 (unit H9) |
24 Feb 2010 | Kumpulan 7 (unit H9) | Kumpulan 8 (unit H7) | Kumpulan 9 (unit H7) |
Jadual 1 menunjukan jadual bertugas malam untuk para guru pelatih.
Isnin, 22 Februari 2010.
Kami berkumpul di dataran PULAKO pada hari pertama sekitar jam 2 petang untuk mendengar taklimat kem yang disampaikan oleh ketua kem dan setiap jurulatih. Taklimat yang diberikan adalah berkaitan dengan keselamatan dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada di kem. Kami juga diberikan penerangan yang teliti tentang aktiviti-aktiviti yang akan kami jalankan sepanjang kem ini diadakan. Antaranya ialah, aktiviti kembara, aktiviti air, dan juga LDK bersama dengan tutor masing-masing. Kami turut dikenalkan dengan semua jurulatih yang terlibat dengan program ini. Senarai jawatankuasa jurulatih adalah seperti berikut :
TUGAS | NAMA JURULATIH |
Ketua Kem | Tn. Hj. Zahari b. Mohd Sarji |
Penolong Ketua Kem | Tn. Hj. Abdul Rani bin Hassan |
Ketua Jurulatih Air | En. Sabri b. Tan |
Jurulatih Air | En. Yusri bin Mat Johor |
Ketua Jurlatih Darat | En. Hamzah bin Shamsudin |
Jurulatih Darat / Pen. Kabajikan | En. Shamsudin b. Abu Bakar |
JK Makanan (Ketua) / Kebajikan | Pn. Hayati binti Mat Desa |
Ketua Fasilitator | En. Mohd Nizam b. Mohd Tejeri |
Ketua JK Alatan | En. Noor Azmi b. Osman |
JK Kerohanian / Moral | Ustaz Zakaria bin Zainuddin |
Tutor PM 3 | Tn. Hj. Mokhtar b. Rais |
Tutor PEMULIHAN | En. Ahmad Jalalulail b. Abd Manap |
Tutor PT | En. Kathasamy A/L Sundra Rajoo |
Tutor MATHEMATICS | En. Khairil Anuar bin Zulkarnain |
| |
Urusetia | En. Baharudin b. Lem |
Urusetia | En. Kamal B. Sudan |
Urusetia | Pn. Nur Haizam bt Mohd Suhaidi |
Setelah selesai taklimat di dataran PULAKO, kami diarahkan untuk mendirikan khemah di tapak perkhemahan. Kami membahagikan kumpulan untuk memasang khemah masing- masing. Satu kumpulan terdiri dari 3 atau 4 orang mengikut jenis khemah yang diperolehi. Saya dan ahli kumpulan saya dapat memasang khemah dengan lancar dan bekerjasama dengan baik dan khemah kumpulan saya berjaya didirikan.
Sebelum memasang khemah, kami diberikan penerangan tentang cara dan teknik pemasangan yang betul. Sebelum mendirikan khemah, kita perlulah memeriksa kawasan sekeliling supaya tidak mendirikan khemah di kawasan yang bahaya. Pintu khemah perlulah mengikut lawan arah angin supaya khemah tidak diterbangkan angin.
Setelah selesai mendirikan khemah, kami menikmati bubur gandum dan air teh sebagai minum petang. Selepas itu, aktiviti kawad kaki bermula pada pukul 5 petang. Aktiviti ini di ketuai oleh ketua kem iaitu En. Mohd Nizam. Kami mempelajari teknik berdiri , cara sedia diri dan senam diri yang betul. Kami berlatih kawad kaki selama 1 jam. Latihan kawad kaki ini selesai kira-kira pukul 6 petang. Setelat itu, kami diberi masa untuk pengurusan diri dan bersedia untuk solat Maghrib secara berjemaah. Sesi tazkirah dijalankan sebaik saja selesai solat. Tazkirah pada malam itu disampaikan oleh wakil pelatih dari kelas Pengajian Melayu yang bertajuk Kepentingan Ilmu. Kami juga melakukan sesi perbincangan dengan semua jemaah dan saling bertukar pendapat Setiap insan perlu mencari ilmu untuk kelansungan hidup. Orang yang berilmu juga akan dipandang tinggi oleh orang lain. Allah juga suka akan orang yang suka mencari ilmu dan akan memurahkan rezeki orang yang berilmu. Selesai sesi tazkirah, kami akan sembahyang solat Insya’ secara berjemaah pula. Ketika pelatih-pelatih muslim menunaikan solat, para pelatih bukan muslim pula berkumpul di Dewan Sri Keledang untuk pengisian rohani.
Pada pukul 10.30 malam,setelah selesai aktiviti LDK, kami berbincang dan menentukan kata laluan untuk malam itu. Setelah itu, kami beredar ke tapak perkhemahan. Kumpulan yang ditugaskan untuk berjaga malam menjalankan tugas mereka dengan baik secara bergilir-gilir mengikut jadual tugas yang disediakan sehinggalah pukul 5 pagi.
Selasa, 23 Februari 2010.
Kami bangun tidur seawal 5 pagi dan bersiap sedia untuk solat Subuh berjemaah. Selepas itu, tazkirah disampaikan oleh pelajar. Tajuk tazkirah pada pagi itu ialah badan sihat otak cergas. Tazkirah ini juga disampaikan oleh wakil pelatih dari Pengajian Melayu 3 selaku imam pada pagi itu. Pelatih bukan Islam pula seperti biasa mengadakan aktiviti moral di dewan.
Setelah itu, kami berbaris untuk program Malaysia Cergas iaitu senam aroebik. Kami menyanyikan lagu Negaraku, lagu Institut dan lagu negeri Perak dengan bersemangat sambil menaikkan bendera. Setelah itu, setiap ketua kelas akan memberi laporan bilangan ahli kepada ketua kem iaitu Syed Anwar b Syed Muhamad. Kami juga melakukan sedikit regangan untuk memanaskan otot
Sesudah itu, kami akan bersarapan dan bersiap sedia untuk aktiviti kembara. Pada pukul 8 pagi, kami berkumpul dan mendengar taklimat yang berkaitan dengan keselamatan dan tugasan yang perlu dilaksanakan semasa aktiviti Kembara dijalankan. Aktiviti ini dilakukan bersama-sama dengan tutor masing-masing. Kami dibekalkan dengan sepuluh bungkus Megi dan tiga batang mancis sahaja sebelum berangkat. Semasa kembara di hutan, kami perlu melalui laluan yang agak sukar kerana licin dan curam juga agak tinggi. Aktiviti ini memang mencabar fizikal dan mental. Aktiviti ini sangat memenatkan tetapi apabila melihat tutor kami yang bersungguh-sungguh dan tabah, kami kembali bersemangat untuk menghabiskan aktiviti ini.
Kami perlu melalui 4 checkpoint dan menjawab soalan yang diberikan dengan berbincang jawapan bersama-sama dengan tutor. Di checkpoint yang pertama, kami perlu mencari beberapa spesies tumbuh-tumbuhan herba dan membincangkan kegunaannya bersama ahli kelas dan tutor masing- masing. Di checkpoint yang seterusnya, kami diminta untuk menentukan arah timur dan barat. Seterusnya, kami diminta untuk menentukan arah kiblat. Hasil perbincangan bersama tutor, akhirnya kami berjaya mendapatkan arah kiblat yang betul. Kami juga berbincang mengenai ikhtiar hidup dan cara serta teknik betul yang perlu dilakukan jika tersesat di dalam hutan.
Kami juga diminta untuk memasak megi yang dibawa dan menikmatinya beramai-ramai. Kami mencari kayu api dan batu besar di sekeliling kawasan memasak. Kami juga bersama-sama berusaha untuk menghidupkan api. Selesai aktiviti memasak, kami membersihkan kawasan memasak tanpa meninggalkan sebarang sampah dan tanda. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan pulang ke Institut. Aktiviti ini tamat pada lebih kurang pada pukul 12 tengahari.
Pada pukul 12 hingga 2 petang, kami diberi masa untuk pengurusan diri masing-masing. Namun begitu, kumpulan saya telah dijadualkan bertugas untuk masak menu tengah hari pada kali ini. Menu masakan tengah hari telah ditetapkan oleh Pn Hayati selaku JK Makanan. Setelah kumpulan saya selesai memasak , kami bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan. Selepas itu, kami solat Zohor berjemaah. Pada pukul 2 hingga 5 petang, program Pembinaan Jati Diri 1 diadakan. Program ini dikendalikan dan dipantau oleh fasilitator yang juga tutor kelas masing-masing. LDK pada kali ini tutor saya telah meminta kami untuk menceritakan pengalaman hidup diri sendiri yang dikenali sebagai ‘Graf Kehidupan’. Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana ia member peluang kepada diri untuk mengimbau kenangan silam di samping memuhasabahkan diri.Setelah tamat aktiviti itu, kelas yang bertugaskan masak pula perlu untuk minum petang dan makan malam. Menu kali ini pula ialah cucur udang dan air teh untuk santapan petang.
Selepas solat Maghrib secara berjemaah bersama-sama, kami mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zakaria tentang kepentingan solat. Selepas itu, kami melakukan satu aktiviti yang agak seronok dan dalam masa yang sama dapat memotovasikan diri agar sentiasa dekat di jalan Allah. Aktiviti ini dijalankan secara berpasangan. Kami perlu berdiri mengadap kiblat dan salah seorang perlu menutup mata dengan kain dan pasangannya akan membawa ia berjalan-jalan dan berhenti di satu tempat. Orang yang ditutp mata tersebut perlu kembali ke tempat asalnya yang mengadap ke arah kiblat. Secara tersiratnya, aktiviti ini mahu mengambarkam bertapa terumbang-ambingnya kehidupan seseorang itu jika tidak menunaikan solat kerana tiada pegangan hidup.
Kira-kira jam 9 malam, program Latihan dalam Kumpulan (LDK 2) bermula. Setiap kelas harus mengikut tutor masing-masing. Ada yang mengadakan perbincangan di bawah pokok, dan ada juga di Astaka. Kelas saya memilih untuk mengadakan perbincangan di surau. Di surau, kami mendengar sedikit input yang berkaitan profesion guru dari tutor. Aktiviti kali ini, kami dikehendaki menceritakan sedikit pengalaman bersama guru yang disukai atau sebaliknya semasa di sekolah dahulu dan berkongsikannya bersama dengan rakan sekelas. Setelah itu kami diminta untuk membincangkan tentang sikap positif yang perlu ada dalam diri seorang guru untuk menjadi role model kepada anak muridnya. Kemudian, sebaik sahaja selesai membentangkan tugasan, kami telah mengambil peluang untuk membincangkan tentang lakonan yang akan dipersembahkan pada Malam Kebudayaan.
Kami dibenarkan tidur pada jam 12.30 tengah malam sebaik sahaja kata laluan untuk malam itu diputuskan. Namun begitu, kira-kira jam 2 pagi, semua peserta kem telah diarahkan bangun dan berkumpul di dataran PULAKO. Kami dipanggil berkumpul kerana jurulatih telah mendapati ada di kalangan guru pelatih secara cur-curi telah pulang ke asrama untuk tidur. Oleh itu, satu ‘spot-check’ kehadiran telah dilakukan dan akhirnya mereka berjaya mengesan siapakah guru pelatih yang telah melanggar peraturan tersebut.
Rabu, 24 Februari 2010.
Kami bangun awal pagi seperti biasa dan bersedia untuk solat Subuh berjemaah. Selepas itu, kami mendengar tazkirah yang disampaikan oleh pelajar. Setelah selesai tazkirah, kami berkumpul dalam barisan mengikut kelas untuk aktiviti Malaysia Cergas. Setiap ketua kelas dikehendaki melaporkan bilangan ahli kepada ketua kem. Kami menyanyikan lagu Negaraku, lagu institut dan lagu negeri Perak sambil menaikkan bendera. Selepas itu, kami melakukan sedikit senaman pagi untuk memanaskan badan untuk aktiviti yang seterusnya dan bersarapan
Pada pukul 8 pagi, kami mendengar taklimat mengenai keselamatan yang perlu diberi perhatian semasa berada dalam air yang disampaikan oleh jurulatih air iaitu En Sabri Tan. Kami juga diajar cara yang betul untuk memakai life jaket. Namun begitu, aktiviti kami ini tergendala seketika dek kerana cuaca pada pagi ini tidak begitu baik dan hujan lebat berserta angin kuat yang telah menyebabkan khemah kami dimasuki air dan terbang. Untuk mengelakkannya daripada rosak, kami telah diminta untuk membuka khemah masing-masing dan meletakkannya di dalam Dewan Sri Kledang.
Pulang dari aktiviti air, kami terus kembali ke khemah masing-masing dan mendirikannya semula. Selepas pengurusan diri, kami menunaikan solat zohor berjemaah dan makan tengah hari. Usai makan, sesi LDK 3 pula bermula. Kali ini, tutor telah meminta kami untuk melakukan refleksi berseorangan di hadapan kelas tentang pengalaman BIG. Selesai LDK, kami minum petang dan kemudian, semua guru pelatih mula sibuk dengan pengurusan Malam Kebudayaan yang akan dihadiri oleh tuan pengarah dan semua ketua jabatan. Kami melakukan kerja secara bergotong-royong di mana ajk masakan bertungkus-lumus menyediakan menu iaitu chicken chop manakala ajk peralatan pula sibuk menguruskan persiapan tempat.
Majlis Malam Kebudayaan dimulakan pada pukul 8 malam dimulakan dengan bacaan doa. Majlis juga diserikan dengan kehadiran Tn Hj. Abd Kadir b. Basiran, Pengarah IPG kampus Ipoh bersama barisan pensyarah-pensyarah. Kami menikmati makan malam dan Chicken Chop sambil melihat persembahan dari semua kelas yang terlibat. Kelas saya telah mempersempahkan lakonan yang diselitkan dengan boria. Lakonan kami berkisar tentang kenakalan remaja zaman sekarang yang akhirnya membawa padah. Persembahan-persembahan pada malam itu sangat menarik dan mempunyai mesej yang tersirat untuk direnungi. Setiap persembahan juga dinilai oleh hakim-hakim yang telah dijemput khas. Perjalanan majlis juga berjalan dengan lancar dan sempurna dan majlis tamat kira-kira jam 12 malam. Setelah tamat majlis, kami bergotong-royong untuk mengemas kembali pentas, meja dan kerusi, serta semua peralatan yang digunakan sepanjang kem ini.
Khamis, 25 Februari 2010
Hari ini merupakan hari terakhir Program Bina Insan Guru. Selepas Solat Subuh, peserta beragama Islam berpeluang mengikuti kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Zakaria. Seterusnya sebelum menikmati sarapan, peserta berkumpul di dewan untuk mengikuti senaman pagi iaitu Malaysia Cergas. Seperti biasa kami perlu melaporkan diri dan menyanyikan lagu patriotik dan menaikkan bendera. Seperti biasa selepas selesai sesi itu, kami bersarapan pagi dan bergotong royong membersihkan kawasan kem mengikut kelas masing-masing. Kelas saya ditugaskan untuk membersihkan Dewan Sri Kledang yang akan digunakan semasa majlis penutupan.
Kira-kira pukul 8 pagi, kami semua perlu berkumpul di Dewan Sri Kledang untuk program refleksi dan rumusan yang dikendalikan oleh Tuan Haji Abdul Rani bin Hassan. Dalam sesi ini, kami perlu menyatakan apa yang kami perolehi melalui aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang berada di kem ini. Tuan Haji Rani juga membuat rumusan tentang objektif segala aktiviti yang telah dijalankan. Selepas itu, majlis penutup dimulakan dengan ucapan dari pengerusi jawatankuasa program BIG siri 2 iaitu Tan Wei Kian. Selepas itu, kami mendengar pula ucapan dari ketua kem Iaitu Tn. Hj. Zahari dan seterusnya ucapan dari Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh iaitu Tuan Haji Isa. Majlis penutup kem Bina Insan Guru Siri 2 juga dirasmikan oleh Tuan Pengarah. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan upacara penyampaian hadiah untuk aktiviti-aktiviti sepanjang kem BIG.
Setelah selesai majlis penutup, kami perlu mengemas semua peralatan dan memeriksa peralatan untuk mengetahui jika ada peralatan yang rosak. Kami juga perlu mengemas khemah dan barang kendiri. Setelah selesai mengemas, kami perlu menyimpan semula semua peralatan tersebut di stor alatan institut. Semua aktiviti mengemas dan menyimpan barang dilakukan bersama-sama antara kelas.
oh ya....disebabkan BIG ini juga aku telah mendapat ciuman seekor katak yg menceroboh masok dlm khemah... ini suma gara-gara puteri katak tu*batuk2*
0 comments:
Post a Comment